Rabu, 05 Maret 2014

Wardina Jangan Pertikai Pelantikan Saya

0 komentar

“Biasalah tu. Ada orang mempersoalkan. Suka atau tidak, itu hak masing-masing.

“Namun yang sebenarnya, ramai orang ucap tahniah pada saya,” begitulah luahan Wardina atau nama sebenarnya Safiyyah Fadlullah Wilmot, 34, berhubung kontroversi pelantikannya sebagai ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN), Selasa lalu.

Merupakan salah seorang daripada 29 individu yang dilantik kerajaan sebagai ahli majlis bagi mengukuhkan agenda perpaduan nasional, bekas pengacara Wanita Hari Ini, berkata, pelantikannya itu tidak sepatutnya menjadi pertikaian memandangkan ia telah dinilai dan diputuskan oleh pihak yang lebih arif.

“Sebelum ini, hidup saya bahagia tanpa apa-apa jawatan dan penganugerahan. Saya selesa dengan apa yang seadanya.

“Mungkin ramai yang melihat ada yang lebih layak daripada saya, tetapi saya sebenarnya juga ada kelebihan tersendiri yang dikurniakan oleh ALLAH SWT.

“Saya memang minat dengan majlis-majlis ilmu dan banyak melakukan kerja amal tanpa pengetahuan orang lain.

“Mungkin dari situ mereka melihat keupayaan saya.

“Menyertai MKPN merupakan pengalaman berharga buat saya setelah dilantik sebagai fellow dakwah oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan Insya-ALLAH saya akan cuba lakukan yang terbaik selepas ini,” kata Wardina. – Sinar Harian Online
Read more ►

Minggu, 02 Februari 2014

Beri Saya Satu Peluang Untuk Membuktikan Diri Saya

0 komentar

CABARAN anak muda dalam memulakan langkah pertama untuk menceburi bidang keusahawanan menjadi antara agenda utama Sheikh Ahmad Nafiq Alfirdaous apabila menawarkan diri bertanding selaku calon Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2013.

Keinginan itu bagaimanapun boleh dianggap bertempat memandangkan beliau telah membuktikan kejayaannya dalam bidang keusahawanan.

Pada usia 31 tahun, Sheikh Nafiq merupakan Pengarah Eksekutif di sebuah syarikat teknologi maklumat yang ‘dibinanya’ sendiri sejak zaman universiti lagi, selain bergelar pengarah di sebuah syarikat minyak dan gas.

Justeru boleh dikatakan, beliau sudah cukup masak untuk memimpin, membantu dan memahami belia yang menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan yang sememangnya mempunyai cabarannya tersendiri.

“Keusahawanan memerlukan jiwa, mental dan fizikal yang kental untuk mendepani cabaran di dalamnya. Ia tidak menjanjikan kejayaan menggunakan jalan pintas,” ujar Sheikh Nafiq.

Tambahnya, ia juga memerlukan kesabaran luar biasa selain kepintaran dan ilmu yang cukup untuk terus melangkah biarpun menghadapi pelbagai cabaran dan zaman jatuh bangun.

Menurut Sheikh Nafiq, andai kata beliau berada dalam kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia, beliau berikrar untuk berkongsi dan membawa suara ‘nyata’ anak muda bersandarkan kepada pengalaman beliau sendiri dalam menghadapi langkah pertama dan seterusnya didalam bidang keusahawanan.

“Selain daripada bantuan dan peluang yang tersedia menerusi agensi kerajaan bersesuaian, saya bercadang untuk meminta Pergerakan Pemuda menyediakan ‘pentas’ dan ‘gudang ilmu’ berkaitan ilmu pengetahuan keusahawanan, pembinaan roh semangat jati diri dan pendedahan latihan kepada para belia sebelum mereka bersaing selaku usahawan,” ujarnya.

Sheikh Nafiq berkata, berbekalkan beberapa pengalaman yang beliau timba selama bergelar usahawan, beliau turut merancang untuk mengadakan dialog dan berkongsi ilmu-ilmu penting untuk mencipta kejayaan dalam bidang tersebut.

Katanya, terdapat banyak cabaran untuk berniaga terutama di bandar besar kerana kita semua mesti bersaing dan ‘bermain’ di padang sama dengan semua kaum dan pelbagai latar belakang.

“InsyaAllah sekiranya diberikan platform sesuai, saya berharap dapat membantu serba sedikit golongan belia yang memerlukan khidmat saya,” katanya yang merupakan Pemangku Bendahari Pemuda dan Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pulai, Johor.

Selain bertanding bagi  Exco Pergerakan Pemuda UMNO dengan nombor calon 33, Sheikh Nafiq turut menjadi calon bagi kerusi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pulai.
Read more ►
 

Copyright © Awo awo Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger